..::hukum berubat dan mendapatkan rawatan menurut pandangan Islam::..

Assalamualaikum wbt...
Islam merupakan sebuah agama yang syumul dan merangkumi semua aspek dari bermulanya hidup sehinggalah bertemu dengan Rabbul Jalil. Sehinggakan dalam bab menguruskan kehidupan seharian juga tidak terlepas dari kaitan Islam. Saya ingin mengambil satu bab yang merupakan fitrah dalam kehidupan manusia iaitu hukum berubat menurut pandangan fuqaha’, ianya bukan sahaja menjadi tugas seorang doktor sahaja malah ianya menjadi sebahagian dari tugas fuqaha’ dalam memastikan hukum hakam Islam tidak tercemar dengan perkara perkara yang diharamkan oleh Allah.


Secara ringkas, hukum berubat menurut pandangan ulama terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

HARAM
Antara hukum yang dinyatakan oleh para fuqaha’ ialah haram berubat dan ianya terbahagi kepada dua bahagian pula iaitu:
haram secara mutlaq: ianya menurut pandangan para ahli sufi kerana mereka mengamalkan konsep tawakkal.

Dalil mereka dari al-Quran al-Karim ialah :
“Tiadalah satu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum kami menciptanya. Sesungguhnya ianya mudah bagi Allah” [1]

Diharamkan kepada mereka yang beri’tiqad bahawa upaya menyembuhkan sesuatu penyakit adalah dari ubat yang digunakan atau yang dimakan bukan dari Allah. Ini adalah pendapat dari sebahagian ulama’ Hanafiah.

HARUS
Sebahagian ulama menyatakan hukum berubat adalah harus,dan ini adalah pendapat yang rajih disisi fuqaha’. Dalam bab harus berubat ini terbahagi kepada tiga pandangan iaitu :

a) Harus mutlaq : Ianya merupakan pandangan jumhur ulama Hanafiah, Malikiah dan Hanabilah.

Dalil yang dikemukakan oleh mereka ialah:
“Tidaklah diturunkan oleh Allah ta’ala sesuatu penyakit kecuali diturunkan olehnya ubat” [2]

b) Sunat berubat : Ini merupakan pandangan al Kasani dari Hanafiah dan dari ulama’ Syafi’eyyah.

Mereka berhujjah dengan dalil :

Sabda Rasulullah s.a.w ,diriwayatkan oleh Abu Darda’ :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan penyakit dan ubatnya dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan sekali kali berubat dengan sesuatu yang haram” [3]

“Tidaklah diturunkan oleh Allah Ta’ala sesuatu penyakit kecuali diturunkan olehnya ubat” [4]

c) Makruh berubat : Ianya terbahagi kepada dua pandangan iaitu:
1. makruh mutlaq. Ianya merupakan pandangan sebahagian dari ulama Salaf.
2. makruh, jika belum diturunkan penyakit.

WAJIB
Wajib berubat terbahagi kepada dua pendapat iaitu :

1. Wajib berubat secara mutlaq. Ini merupakan pendapat sebahagian ulama’ Hanabilah.
2. Wajib berubat jika diketahui akan sembuh selepas berubat. Ini merupakan pendapat sebahagian ulama’ Syafi’eyyah, sebahagian ulama’ Hanabilah dan Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah.

Natijah dari perbincangan para ulama dan setelah dikumpulkan seluruh kalam fuqaha’,maka dapatlah disimpulkan bahawa hukum berubat dan mendapatkan rawatan bagi sesuatu penyakit adalah harus berdasarkan dalil dalil yang dikemukan tadi.

*Artikel ini adalah ringkasan dari kitab ‘al masail at tibbiyyah al mustajiddah’

post signature

No comments:

Post a Comment