..::bersediakah kita utk mati..??::..

Assalamualaikum wbt...
Munajatku padaNYA kali ini bertemankan air mata. Menginsafi diri apabila mengenang segala dosa yang dilakukan. Cukupkah amalan yang bakal dibawa ke destinasi abadi? Sesungguhnya kematian itu pasti, namun mengapa dan kenapa tidak ramai yang ingin memikirkan mati? Kenapa apabila bercakap tentang mati, semua menjadi gerun dan seram sejuk? Adakah kerana takut mati disebabkan takut rasa sakitnya, atau takut untuk meninggalkan dunia persinggahan, atau kerana takut akan seksa ALLAH pada segala dosa yang belum terampun?

Bertanya pada diri sendiri, sentiasa mengingati mati itu apa kelebihannya? Diri menjawab mengingati mati mendekatkan diri kepada Pencipta yang akan mematikan. Dengan sentiasa mengingati mati, diri akan sedar akan kerendahan martabatnya di hadapan al-Khaliq. “Kalau aku tak baca al-Quran sekarang, sempat lagi ke nak baca lepas ni?”, “Kalau aku tak bangun solat Subuh sekarang, ada lagi ke esok untuk aku?”, “Hutang aku pada dia, kalau tak bayar sekarang, sempat ke nak bayar lepas ni?”, “Kalau tak minta maaf dengan mak sekarang, nanti sempat ke?” Masya ALLAH! Banyaknya yang belum dilakukan!

Renungkan wahai sahabat, masa kita di dunia ini semakin singkat. Ajal juga semakin hampir kepada kita. Ajal tidak mengenal UMUR dan TEMPAT. Bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil kembali ke tempat asal kita. Tidak kira di mana mahupun bagaimana. Saya sendiri, tidak tahu bila lagi saya boleh menaip nukilan hati saya di blog ini. Siapa tahu, mungkin juga ini kali terakhir saya menaip di sini, atau mungkin ada lagi peluang untuk saya selepas ini…? Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui akan sesuatu, dan DIA yang Maha Berkuasa menentukan sesuatu. Maka, saya ingin menyeru sahabat-sahabat sekalian, sentiasalah mengingati ALLAH walau di mana kita berada. Tambahkanlah amal ibadat kita selagi mampu untuk kita bernafas. Selagi nyawa tidak sampai ke hujung tanduk, selagi itulah kita tingkatkan iman dalam diri. Tarbiah diri kita. Sucikan hati, istiqamahlah.

“Cukuplah MATI itu sebagai satu peringatan…” - semat dalam hati sentiasa.

post signature

No comments:

Post a Comment